JEJAK ISU SEMASA


Hayati 55 Tahun Merdeka

PERTAMA sekali mari kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi, dengan rahmat-Nya Malaysia hari ini telah mencapai 55 tahun kemerdekaan. Bertapa bertuahnya kita sebagai warganegara yang menikmati keamanan ini hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan? Jika kita bertanya kepada masyarakat umum, pelajar, mahupun mahasiswa, pasti mereka menjelaskan bahawa kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing.
Namun, pada tulisan kali ini penulis ini mengajak sidang pembacaan sekali, untuk menghayati erti kemerdekaan daripada sudut yang lebih luas, bukan sahaja mengenal erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing, namun yang ingin kita lihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu merangkumi kemerdekaan dari sudut mentaliti, sahsiah, dan juga sosial kemasyarakatan.
Adakah kita benar-benar merdeka? Satu persoalan yang bersifat subjektif yang mana jawapannya pelbagai. Ya kita sebenarnya benar-benar merdeka. Buktinya, Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957. Kita mampu mencipta nama di pentas dunia, kita mampu mencipta nama dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi. Namun, kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan berstatus mutlak, kerana, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda masih lagi terjajah.
Mengapa penulis berhujah sedemikian? Contoh kecil yang boleh penulis ketengahkan pada kali ini adalah penggunaan bahasa Inggeris, yang mana kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Niat penulis bukanlah ingin menyentuh mana-mana pihak tetapi, lebih kepada mencetus kesedaran kita dalam soal penggunaan bahasa dalam perspektif kemerdekaan. Adakah kita masih dijajah mahupun bebas?
Ramai yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu turut mampu meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas, jika kita sedar bahawa bahasa itu sebagai warisan bangsa.
Kita cukup bangga apabila anak kita boleh fasih berbahasa Inggeris, namun kita tidak rasa sedikit pun kebimbangan jika kita anak kita tidak betul berbahasa Melayu. Hal ini disebabkan minda kita masih lagi terjajah yang mana bahasa Inggerislah segala-galanya kehidupan kita hari ini.
Tanggap buruk perlu kita ubati dengan segera, kerana menurut Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini.
Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.
Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka adalah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris.
Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009: Bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).
Oleh yang demikian, setelah kita mencapai 55 tahun kemerdekaan yang akan genap 31 Ogos nanti, marilah kita renung kembali, fikirkan sejenak adakah kita pada hari ini masih lagi terjajah mahupun bebas seperti diuar-uarkan.
Merdeka mahupun kemerdekaan itu besar ertinya, hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya, semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur, dan sepakat. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120802/fo_02/Hayati-55-Tahun-Merdeka











Cuti ganti Hari Raya 2012 Persekolahan pada 16 dan 17 Ogos

 

Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos
cuti raya 2012 cuti ganti hari raya 2012 persekolahan pada 16 dan 17 ogos
Gambar Hiasan
Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan
“Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan
Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 Sept manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 Sept
“Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut,” kata kenyataan itu – Bernama

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment